Monday, January 25, 2010

'Diracun' lens 200mm F2.8

Assalamualaikum...

"Bangau oh bangau ..
Kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus..
Ikan tidak timbul."


Teringat waktu menyanyi lagu seloka bangau oh bangau zaman sekolah rendah dulu...

Kali ni nak berkongsi gambar kepada mereka-mereka yang berminat dengan spesis burung yang bernama 'Bangau'.

Ahad, 24 Jan lalu saya ke putrajaya bertemu sebuah keluarga 'deal' untuk foto perkahwinan anak mereka.

Selepas selesai, saya sempat singgah di Taman Wet Land Putrajaya, konon-kononnya mahu melihat kawasan untuk outdoor shooting pengantin nanti.

Alhamdulillah..tak sangka-sangka ada tiga orang brader chinese buat outdoor kat taman flamingo kat situ.

Fuh..tengok diorang punya lens...sampai bila pun sy rasa tak mampu nak miliki.
Sorang tu pakai lens 400mm, diameter muka depan lens tu lebih kurang sebesar muka saya.

Saya pun cuba la dekat-dekat dengan diorang..maklumla nak belajar punya pasal.

Saya tanya seorang brader tu, berapa dah dia habiskan melabur kat kamera tu.. dia jawab dekat 70K juga semua sekali. Terkejut beruk juga saya dibuatnya...

Fuh ternyata perjalanan saya masih jauh...Sempat la menuntut dengan diorang beberapa tips shot. Diorang ni sebenarnya egineer, tapi minat buat still photo.

Yang paling best, ada sorang brader Lai Hen Jung nama dia, bagi pinjam lens dia kat saya. Lens AF 70-200mm F2.8 jenama TAMRON kalau tak silap. Diorang panggil juga sebagai Mirror Lens.

Tapi dia fix la..xboleh nak closeup ataupun wide..dan satu lagi manual fokus.

"Nah saya 'racun' kamu..," kata Hen Jung pada saya sambil menghulurkan lens.

Racun tu bermaksud mempengaruhi saya untuk beli lens macamtu juga.

Apa lagi..peluang tak kan nak biarkan... Ni beberapa shot sempat saya ambil hand held, tapi ada yang lari fokus juga..hu hu..


Sangat berbeza hasilnya dengan lens yang saya ada.
Kualiti gambar sangat bagus..
Apapun...toche, sensei buat kalian yang telah mengajar dan memberi pinjam lens.

Alahai...aku sudah teracun...!

Lagi koleksi gambar bangau...KLIK DI SINI

Test skill dgn BMW James Bond


Saje nak test skill..terbaca tips kat web sifu Noorizam Sabran terus teringat ada kereta BMW James Bond kat rumah. Beli waktu isi minyak di Shell dulu.

Saya kongsikan benda tak seberapa ni dengan anda. Masih banyak sebenarnya yang perlu dipelajari... Namun sungguh seronok belajar benda yang kita minat.

Tunjuk ajar dari mana-mana sifu sangat diharapkan.

Sedikit perincian shot: [Nikon D80 + 82mm + ISO 200 + f/8 + Aperture 5"]

Waktu gambar diambil : 10:20 pm
Alas bawah kereta : Plastik cover album
Background : Laptop mini HP warna pink
Lighting: Lampu kalimantang rumah & tanpa flash

Sebelum ni saya bermain dengan kamera video... asas hampir sama, cuma skill dan kreativiti sgt berbeza. Apapun saya dalam proses untuk mahir kedua-duanya.

Lagi koleksi gambar kereta ini... KLIK DI SINI

Mencerap gerhana di UM

Berkesempatan bersama pelajar Falak Syarie Akademi Pengajian Islam UM mencerap gerhana matahari, salah satu tanda kebesaran Allah SWT.

Proses mencerap bermula jam 2.45pm hingga jam 4.45pm.

Gerhana ni tak boleh terus dilhat dengan mata kasar, nanti rosak mata...so kena la pakai Teleskop ke, kacamata hitam khas ke, tak pun tengok biasan dalam air.

Em..jarang-jarang sekali berlaku. Selain mencerap, turut diadakan solat sunat gerhana dan bacaan khutbah khas. Selagi hayat ada tuntutan sunat gerhana dipenuhi sebaiknya.

Selama ini bila berlaku gerhana, saya hanya tahu Bumi, Bulan dan Matahari berada disatah yang sama, dan hari menjadi gelap.

Rupa-rupanya bayak lagi perkara berlaku semasa fenomena gerhana terjadi seperti air laut menjadi pasang dan telur boleh berdiri.

Maha kuasa Allah menunjukkan kebesaranNya. Sangat ta'jub melihatnya dan mencuba sendiri melakukannya.

Apapun terima kasih buat K.Khadijah yang banyak memberi kerjasama.
Saya masukkan sedikit pengalaman K.Khadijah bertemu gerhana sewaktu beliau mesih kecil. Seperti yang diceritakan kepada saya...

"Terkenang ketika bersekolah, takjub apabila diberitahu dalam berita, akan berlaku gerhana matahari separa di Malaysia. Tidak ingat tahun bila, tapi hati memang mahu sangat melihatnya.

"Dengan berbekalkan air di dalam gayung, dapat juga dilihat separuh matahari tertutup gelap.

"Ketika itu tidak tahu, apa sebenarnya yang berlaku secara terperinci, cuma ibu kata, bulan yang menutup separuh matahari," ceritanya.


Lagi koleksi gambar cerap gerhana..KLIK DI SINI

Akhlak, perbuatan baik 'auto-pilot'

Bulan Disember tahun lalu saya berkesempatan mengikuti kuliah Maghrib disampaikan oleh Ust Hasrizal Jamil.

Tajuknya 'Saya mesti muslim dari sudut AKHLAK'.

Saya menulis semula apa yang disampaikan untuk disiar dalam ruangan remaja di laman Harakahdaily.net

Berikut tulisan saya untuk manfaat semua...
____________________________________________________________
AKHLAK, perbuatan baik 'auto-pilot'

AKHLAK berasal daripada bahasa Arab `Khuluq' yang membawa kaitan dengan pekerti, tingkah laku dan perangai.

Dalam Islam, akhlak berkait rapat dengan nilai yang dihubungkan dengan ajaran Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad S.A.W.

Selagi sesuatu perbuatan itu tidak bercanggah dengan kedua-dua sumber hukum tertinggi itu, maka ianya termasuk dalam perbincangan akhlak.

Imam Al-Ghazali mendifinisikan akhlak sebagai 'satu tindakan atau perbuatan yang terbit daripada diri secara berterusan, dan perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'.

Manakala Sheikh Dr. Fathi Yakan dalam sebuah buku karangannya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam, meletakkan 'akhlak yang mulia itu adalah objektif paling utama Islam' sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Perjalanan hidup seorang muslim belum sampai ke matlamat jika gagal menjadi seorang yang berakhlak.

Biarpun dia berakidah dengan akidah Islam, beribadah dengan Ibadah Islam namun ianya masih belum sempurna tanpa satu lagi aspek iaitu akhlak Islam itu sendiri.

Untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali dalam pendifinisian beliau tentang akhlak, mari kita melihat kepada dua situasi berikut.

Situasi pertama: Ahmad ditakdirkan terserempak dengan seorang peminta sedekah ketika berjalan menuju ke stesen komuter lantas terdetik dihatinya untuk memberikan wang kepada peminta sedekah itu.

Dia kemudiannya menyedari yang dia hanya memiliki sekeping RM10 dan memerlukan separuh dari jumlah itu untuk tambang pulang ke rumah.

Setelah berfikir tentang jumlah yang wajar disumbangkan, akhirnya dia menghulurkan wang RM10 tersebut kepada peminta sedekah dan meminta dikembalikan semula RM5 kepadanya.

Situasi kedua: Azman seorang pramugara kepada sebuah syarikat penerbangan.

Mengikut profesyen dan etika kerja syarikat, Azman dikehendaki mengukir senyuman kepada setiap penumpang di dalam penerbangan bersamanya.

Sikap Azman itu bagaimanapun berbeza bila pulang ke rumah.

Senyuman sama jarang-jarang diberikan kepada anak dan isterinya.

Setiap manusia mempunya banyak sebab untuk berbuat kebaikan.

Namun perlu difahami bahawa tidak semua di antara kebaikan yang dilakukan itu boleh dikategorikan sebagai akhlak, mengapa?

Mari kita fahami dari kedua-dua situasi yang dikemukakan di atas tadi.

Pada situasi pertama, secara amnya Ahmad telah melakukan kebaikan kerana memberikan sumbangan kepada seorang insan yang memerlukan bantuan iaitu peminta sedekah tersebut.

Namun jika diteliti dengan lebih cermat, perlakuan baik Ahmad itu belum dapat dikategorikan sebagai berakhlak kerana Ahmad masih menggunakan proses pemikiran untuk menentukan jumlah yang mahu diberikan kepada peminta sedekah tersebut.

Sedangkan dalam pengertian akhlak itu menyebut 'perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'.

Pada situasi kedua pula, tindakan senyum Azman sewaktu menjalankan tugas itu merupakan satu perbuatan yang baik, apatah lagi ianya sesuatu perbuatan yang dituntut oleh Islam malah dikira sebagai sedekah.

Namun melihat kepada sikap berbeza Azman di tempat kerja dan di rumah, maka senyumannya ketika melayan penumpang belum boleh dikategorikan sebagai berakhlak.

Ia kerana perbuatan senyum Azman itu dilakukan atas dasar etika kerja dan bukan terbit dari diri sendiri tanpa memerlukan proses berfikir.

Secara kesimpulannya, akhlak adalah perbuatan baik (tidak bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Sunah), yang dilakukan tanpa syarat.

Atau dengan kata lain, perbuatan baik yang 'auto-pilot'.

Sumber: Kuliah kitab 'Apa Ertianya Saya Menganut Islam' oleh Ustaz Hasrizal Jamil (http://saifulislam.com)